pada 20 Jun 2008
Jadi jutawan jualan langsung sebab gigih
|
|
BATU PAHAT 19 Jun - Walaupun pernah diisytiharkan muflis, Md. Taib Abu Sujak, 44, tidak pernah patah semangat sebaliknya terus gigih berusaha dan hari ini boleh berbangga apabila muncul antara usahawan jualan langsung paling berjaya dengan pendapatan bulanan ratusan ribu ringgit.
Ia dicapai melalui perniagaannya mengedarkan produk, Intra iaitu jus daripada 23 jenis herba yang berkhasiat untuk menyihatkan badan dan menyembuhkan pelbagai penyakit.
Md. Taib berkata, kini beliau menduduki pangkat kedua tertinggi di peringkat global iaitu Pengarah Pemasaran Antarabangsa untuk sebuah keluaran jus herba dari Kanada.
Melalui pendapatan lumayan tersebut juga, beliau mampu memiliki rumah dan pejabat mewah bernilai jutaan ringgit di samping lima buah kereta mewah.
Kata beliau, kejayaannya bermula dengan cabaran oleh seorang lelaki keturunan Cina, Ed Douglas Kerk, sewaktu kali pertama berjumpanya pada awal November, 2003.
Katanya, lelaki itu memujuknya untuk menyertai syarikat jualan langsung tetapi ditolaknya mentah-mentah kerana sudah tidak mahu membabitkan diri dengan mana-mana perniagaan jualan langsung lagi setelah banyak kali kecewa dan gagal kesemuanya.
Menurutnya, malah keadaan keluarganya ketika itu amat miskin setelah berhenti kerja tetap sebagai pegawai kerajaan dan usahanya menggadai tanah dan rumah untuk memulakan perniagaan sendiri menemui kegagalan.
''Namun, Douglas tidak pernah putus asa dan tetap datang menemuinya walaupun dihalau beberapa kali.
''Kedatangan lelaki itu untuk kali ke-13 dengan memberikan produk jus herba secara percuma untuk dicubanya lalu ia merubah segala-galanya termasuk nasib keluarga saya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Menurut Md. Taib, keajaiban produk tersebut yang berjaya menyembuhkan penyakit asma yang dihidapinya sejak kecil menyebabkan beliau meletak jawatan sebagai pegawai kerajaan dan berasa tidak sabar untuk berkongsi dengan orang ramai.
Beliau berkata, sebelum ini beliau sering berulang alik ke hospital kerana masalah asma tetapi kini sembuh sepenuhnya.
Katanya, isteri yang sebelum ini mengalami ketumbuhan di bahagian buah dada dan anak sulungnya yang menghidap asma, juga pulih dengan berkat mengamalkan jus herba tersebut.
''Sejak itu saya bersetuju menerima pelawaan Douglas iaitu sebagai ahli biasa pada Februari 2004 saya tidak menoleh ke belakang lagi sehingga kini,'' katanya.
Beliau berkata, setahun kebelakangan ini beliau dan isteri sering pulang ke rumah jam 4 pagi dan perhentian rehat dan rawat di lebuh raya menjadi rumah kedua mereka.
Katanya, beliau terpaksa meninggalkan rumah dan anak-anak bagi membantu orang bawahan di seluruh Semenanjung kerana mereka adalah asetnya.
''Kejayaan dalam perniagaan jualan langsung tidak boleh dicapai jika kita bersendirian tetapi kita haruslah membantu orang bawah kita kerana mereka adalah punca kejayaan kita," ujarnya.
Menceritakan mengenai rahsia kejayaannya kini, Md. Taib memberitahu, paling utama adalah produk yang hendak dijual mestilah berkualiti dan terbukti mampu menepati janji.
''Jika kita berjanji produk itu mampu membantu kita agar sentiasa sihat dan bertenaga, pastikan itu memang mampu dilakukan,'' katanya.
Pengalaman yang amat manis bagi Md. Taib kerana menceburi bidang tersebut, antaranya kesempatan membuat ucapan dalam bahasa Melayu ketika beliau berjaya meraih kejayaan besar dan diraikan serta berucap di Toronto, Kanada.
Beliau berkata, sudah menjadi tradisi syarikat tersebut setiap ahlinya yang berjaya mencapai kejayaan cemerlang diberi peluang berucap di depan ahli-ahli lain dari banyak negara dalam bahasa ibunda.
Katanya, beliau dan Douglas telah meraikan saat bersejarah itu selepas memenangi empat penghormatan antarabangsa di Toronto pada 2006.
''Secara tidak langsung melalui perniagaan ini kami turut membantu memperkenalkan nama Malaysia di mata dunia," ujarnya.
Mengimbau masa lalu, Md. Taib memberitahu beliau meninggalkan jawatan bergaji tetap yang disandangnya selama 20 tahun dengan jawatan terakhir sebagai Pegawai Mara Daerah Batu Pahat kerana sering cuti sakit ekoran asma yang dihadapinya.
Baginya adalah tidak adil beliau mengambil gaji sedangkan beliau tidak mampu melaksanakan tugas dengan baik akibat masalah penyakit yang dihidapinya.
Beliau berkata, masyarakat khususnya generasi muda perlu lebih giat menceburi bidang tersebut serta mencontohi kejayaannya dalam perniagaan.
rujukan : http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_02.htm
INGIN MENYERTAI KAMI? KAMI AKAN TERANGKAN KLIK SINI.